Sunday 27 September 2015

KESATUAN MALAYA DAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU

KESATUAN MALAYA

MALAYAN UNION

   LATAR BELAKANG

Penjajahan Jepun menyerah kalah pada 1945 dan dengan itu juga Perang Dunia II tamat.Tempoh di antara penyerahan kuasa Jepun dan kedatangan semula British di Tanah Melayu telah memberi kesempatan kepada Parti Komunis Malaya (PKM) melalui Malayan Peoples Anti Japanese Army (MPAJA) untuk mengambil alih kuasa pemerintahan di Tanah Melayu.

Sejarah menunjukkan bahawa PKM dapat menguasai tanah Melayu selama 14 hari.  Dalam tempoh tersebut dan juga waktu selepas itu, anggota-anggotanya telah membuat kekacauan dan huru-hara. British datang ke Tanah Melayu pada bulan September 1945. Untuk mengembalikan keamanan. Pentadbiran Tentera British (British Military Administration – BMA)  telah ditubuhkan.

Dalam keadaan huru hara pemerintahan tentera dirasakan perlu. Sistem pentadbiran tentera tersebut tidak bertahan lama. Berikutnya British telah mencadangkan sistem pentadbiran baru yang dinamakan sebagai Malayan Union (Kesatuan Malaya). 


  TUJUAN DIPERKENALKAN MALAYAN UNION

Parlimen Inggeris pada 10 Oktober 1945 telah membentangkan satu kertas putih yang isinya adalah mengenai matlamat British untuk mewujudkan satu sistem pentadbiran baru yang dikenali sebagai Malayan Union.

Malayan Union yang dicadangkan merupakan satu kesatuan negeri-negeri Melayu. Dalam pentadbiran ini negeri-negeri di semenanjung yang tidak pernah lagi ditadbirkan sebagai satu kesatuan, dan mempunyai cara pemerintahan tersendiri adalah ditadbirkan di bawah satu kesatuan.

Tujuan utama diperkenalkan Malayan Union ialah untuk mempastikan kepentingan British di Tanah Melayu terpelihara, khususnya kepentingan ekonomi.[2] Untuk tujuan ini tindakan menyeragamkan pentadbiran di bawah satu sistem (Malayan Union)  adalah perlu dengan sebab-sebab tertentu iaitu:

i.              Melalui satu sistem pemerintahan, kos pentadbiran negeri-negeri melayu dapat dijimatkan.
ii.             British juga pernah menyatakan kononnya bahawa matlamat akhirnya ialah untuk memberikan kemerdekaan kepada negeri ini.
iii.            Selain daripada itu juga dikatakan bahawa British segaja menubuhkan  Malayan Union kerana perasaan benci beberapa pegawai Inggeris terhadap orang Melayu yang dikatakan menyokong Jepun semasa  penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

   CIRI-CIRI PERLEMBAGAAN MALAYAN UNION

a.         Terdiri daripada  sembilan buah negeri Melayu, Pulau Pinang dan Melaka.

b.         Gabenor Inggeris merupakan ketua pentadbir  Malayan Union yang berpusat di Kuala Lumpur, Gabenor dibantu oleh Majlis Mesyuarat Kerja dan Majlis Perundangan.

c.         Raja-raja Melayu hanya berperanan sebagai penasihat Gabenor, sedangakan kedaulatan mereka sebagai raja di negeri mereka sendiri dihapuskan. Raja hanya berkuasa dalam soal agama Islam dan mengetuai Majlis Penasihat Melayu.

d.         Majlis Mesyuarat Negeri dikekalkan untuk tujuan mengurus kerajaan tempatan tetapi masih tertakluk kepada kawalan pemerintahan pusat.

e.         Malayan Union tidak melibatkan Singapura, Singapura masih dikekalkan sebagai tanah jajahan di bawah kuasa seorang Gabenor Jeneral British yang berkuasa ke atas Gabenor Malayan Union.

f.             Dari segi kerakyatan, ianya berdasarkan prinsip jus soli. Melalui prinsip ini kerakyatan Tanah Melayu diperolehi sekiranya:

i.          Orang asing  yang berumur 18 tahun ke atas dan telah bermastautin  di Tanah  Melayu selama 10 tahun daripada tempoh 15 tahun sebelum 15 Febuari.
ii.          Seseorang itu dilahirkan di Tanah Melayu selepas penubuhan  Malayan Union

g.         Hak warganegara yang sama rata bagi semua orang tanpa mengira bangsa atau asal keturunan ini termasuk kemasukan ke dalam perkhidmatan kerajaan dan hak mengundi  dalam pilihanraya umum.


   IMPLIKASI PENUBUHAN MALAYAN UNION

Tentangan Orang Melayu

Rancangan Malayan Union mendapat bantahan. Mereka menyuarakan bantahan melalui pelbagai cara, antaranya melalui akhbar-akhbar Melayu seperti Majlis, Utusan Melayu dan Warta Negara, menghantar surat bantahan kepada kerajaan British di London. Bantahan dilakukan secara teratur dan secara bersama melalui persatuan-persatuan Melayu di peringkat negeri seperti mengadakan perarakan dan tunjuk perasaan di seluruh Tanah Melayu.[3]


Pada 1 April 1946 Malayan Union ditubuhkan secara rasmi dengan Sir Edward Gent menjadi Gabenor Jeneral yang pertama. Orang Melayu bertindak memulaukan upacara perlantikan Gabenor Malayan Union dan semua majlis yang dianjurkan oleh kerajaan British. Sebagai tanda bantahan, orang Melayu berkabung selama tujuh hari dengan melilitkan kain putih pada songkok.

Kongres Melayu Se Malaya Kedua di Johor Bahru pada 11 Mei 1946 meluluskan pembentukan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang diberi tugas untuk menyatukan orang Melayu bagi menentang Malayan Union dan Dato’ Onn bin Jaafar di pilih  menjadi yang dipertua UMNO yang pertama.[4]


Sebab-Sebab Penentangan

Antara sebab-sebab penentangan Malayan Union ialah:

a.            Perlembagaan Malayan Union digubal tanpa mengambil kira pandangan orang Melayu terlebih dahulu. Raja-raja Melayu diberi masa yang singkat untuk meneliti kandungan perjanjian Malayan Union. Mereka tidak di beri peluang berbincang dengan para pembesar atau Majlis Mesyuarat Negeri masing-masing.

b.            Persetujuan raja-raja Melayu kepada Malayan Union dianggap tidak sah kerana tidak mematuhi perlembagaan negeri-negeri Melayu yang memerlukan raja berunding dengan para pembesar terlebih dahulu sebelum menandatangani sebarang perjanjian dengan kuasa asing.[5]

c.            Sir Harold Mac Micheal menggunakan ugutan untuk menyingkirkan mana-mana raja yang tidak bersetuju dengan rancangan Malayan Union. Beliau juga bersikap biadap, tidak mengetahui adat resam dan memahami bahasa Melayu serta tiada pengalaman langsung tentang Tanah Melayu.

d.            Malayan Union menghapuskan kedaulatan dan kuasa politik raja-raja Melayu. Kuasa raja-raja hanya terbatas kepada hal-ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja. Kehilangan kedaulatan dan kuasa politik bermakna raja-raja tidak lagi dapat melindungi hak dan kepentingan orang Melayu. Sebelum ini raja merupakan orang yang paling tinggi dalam struktur sosial masyarakat Melayu tradisional. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mengatasi raja. Seseorang raja yang memerintah merupakan seorang pemimpin yang ditaati, dihormati dan disegani.

e.            Malayan Union menawarkan syarat-syarat kerakyatan yang longgar kepada kaum bukan Melayu. Penerimaan kaum bukan Melayu menjadi warganegara boleh mengancam kedudukan politik orang Melayu. Terutama apabila kesetiaan kaum bukan Melalyu kepada Tanah Melayu masih lagi diragui.

f.             Persamaan hak kepada semua rakyat di Tanah Melayu tanpa mengira kaum dianggap mengancam hak dan kedudukan istimewa orang Melayu. Sebagai penduduk peribumi di Tanah Melayu, orang Melayu berasakan bahawa mereka perlu menikmati hak dan kedudukan yang istimewa berbanding dengan kaum lain.

No comments:

Post a Comment