PROSES PEMBENTUKAN MALAYSIA
Proses perbincangan dan perundingan kearah pembentukan Malaysia ini
sebenarnya sangat panjang dan kompleks. Banyak perkara yang perlu
dipertimbangkan dan diatasi sebelum cadangan ini dapat direalisasikan. Beberapa
tindakan juga perlu diambil bagi memastikan pembentukanini memuaskan hati semua
pihak.
JAWATANKUASA
PERUNDINGAN PERPADUAN MALAYSIA (MSCC)
Pada bulan Julai 1961, satu mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel (PKK)
cawangan Tanah Melayu dan Borneo telah diadakan di Singapura. Semasa mesyuarat
ini, pemimpin-pemimpin Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah mengambil
peluang ini untuk menjelaskan konsep Malaysia kepada perwakilan Sabah, Sarawak
dan Brunei yang hadir ke mesyuarat tersebut.
Penerangan ini didapati telah mengurangkan salah faham, terutama di
kalangan pemimpin tiga wilayah tersebut tentang penubuhan Malaysia. Kesan
daripada persefahaman ini, mesyuarat telah bersetuju untuk menubuhkan
Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia. Jawatankuasa ini dianggotai
oleh wakil-wakil dari semua wilayah yang terlibat dalam pembentukan, sementara
Donald Stephens dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut. Namun,
perwakilan Brunei menganggap diri mereka hanya sebagai pemerhati
kerana ketidaksediaaan Brunei menyertai gabungan.
Secara amnya, jawatankuasa ini berfungsi untuk menerangkan dengan lebih
jelas akan konsep Malaysia kepada orang ramai, khususnya penduduk
Sabah, Sarawak dan Brunei. Untuk tujuan ini, jawatankuasa akan mengumpul
dan membandingkan idea-idea serta pendapat yang dikemukakan berhubung Malaysia.
Keterangan-keterangan dan perbincangan akan dilaksanakan dengan lebih giat
untuk menyegerakan rancangan pembentukanMalaysia ini. Selain itu,
jawatankuasa juga seboleh mungkin berusaha mendapatkan kata sepakat daripada
pemimpin-pemimpin politik di semua daerah terbabit. Semenjak pembentukan
jawatankuasa ini, mereka telah mengadakan perjumpaan sebanyak empat kali, iaitu
pertamanya di Jesselton (Kota Kinabalu sekarang) pada 21 Ogos 1961, kedua di
Kuching pada 18 Disember 1961, ketiga di Kuala Lumpur pada 6 Januari 1962 dan
keempat di Singapura pada 1 Februari 1962.
Dalam perjumpaan-perjumpaan jawatankuasa dan usaha-usaha yang
dilaksanakan, ramai tokoh dari Tanah Melayu dan Singapura seperti Tunku Abdul
Rahman sendiri, Ismail Yusoff, Datu Ong Yoke Lim dan Lee Kuan Yew memainkan
peranan yang sangat penting. Perjumpaan-perjumpaan yang mereka adakan dengan
pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak telah mendatangkan hasil yang
baik.
SURUHANJAYA COBBOLD
Suruhanjaya Penyiasat Borneo Utara atau Suruhanjaya Cobbold telah
ditubuhkan setelah satu rundingan dibuat antara kerajaan Persekutuan Tanah
Melayu dengan kerajaan British pada bulan November 1961. Suruhanjaya ini
dilantik secara rasmi pada 16 Januari 1962. Suruhanjaya ini dipanggil
Suruhanjaya Cobbold sempena nama ketuanya, iaitu Lord Cobbold seorang berbangsa
Inggeris. Ahli-ahli suruhanjaya ini ialah Lord Cobbold, iaitu bekas Gabenor
Bank England sebagai ketua, Anthony Abell dan David Waterson yang mewakili
kerajaan British, sementara Dato’ Wong Pow Nee dan Tan Sri Mohd. Ghazali Shafie
sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.
Kerajaan United Kingdom dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu bersetuju
bahawa dengan memasukkan Borneo Utara dan Sarawak (bersama-sama dengan
lain-lain negeri) ke dalam Persekutuan Malaysia yang dicadangkan itu, banyak
faedah diperoleh rakyat Negara-negara yang berkenaan. Matlamat penubuhan
Suruhanjaya Cobbold adalah untuk menyiasat fikiran rakyat Borneo Utara dan Sarawak berkenaan
hal ini dan membuat syor-syor setelah menimbangkan fikiran itu.
Suruhanjaya ini menjalankan tugasnya selama dua bulan bermula pada 19
Februari 1962 dan berakhir pada bulan April 1962. Dalam tempoh dua bulan
tersebut, Suruhanjaya Cobbold telah mengadakan 50 perjumpaan di 35 buah tempat,
iaitu 20 di Sarawak dan 15 di Sabah serta telah menemui lebih daripada 4000
orang yang mewakili kira-kira 690 buah kumpulan. Selain itu, suruhanjaya ini
juga mempelawa dan menerima surat-surat atau memorandum daripada orang ramai untuk
menyuarakan pandangan mereka. Semasa menjalankan tugasnya, suruhanjaya telah
menerima lebih daripada 2000 (lebih kurang 600 pucuk surat dari Sabah dan
selebihnya dari Sarawak ) memorandum yang dikemukakan sama ada oleh
lembaga-lembaga bandaran, ketua-ketua kaum, Majlis Daerah, parti-parti politik,
persatuan-persatuan, dewan-dewan perdagangan, pemimpin-pemimpin agama mahupun
orang perseorangan. Daripada keseluruhan kerja atau tugas yang dilaksanakan
oleh Suruhanjaya Cobbold ini, jelas mereka membuat tinjauan serta penyiasatan
secara menyeluruh dan mewakili sebahagian besar penduduk di kedua-dua wilayah
tersebut.
Suruhanjaya Cobbold menamatkan penyiasatannya pada 18 April 1962 dan
kemudian mengemukakan sebuah laporan penyiasatan kepada kerajaan British kerajaan
Persekutuan Tanah Melayu pada bulan Jun 1962. Menurut laporan suruhanjaya ini,
lebih kurang 80% daripada penduduk Sabah dan Sarawak menyokong pembentukan ini
dan sebahagian besar daripada mereka ialah kaum Bumiputera. Secara keseluruhan,
bentuk sokongan masyarakat Sabah dan Sarawak terbahagi kepada tiga
golongan iaitu:
a. 1/3 daripada
dua buah negeri ini menyokong penuh penggabungan tanpa syarat
b. 1/3 lagi turut
menyokong, tetapi dengan syarat-syarat dan jaminan tertentu.
c. 1/3 lagi
separuhnya mahukan kemerdekaan dahulu sebelum bergabung dan separuhnya yang
menentang kerana mahu kekal dalam pemerintahan British. Bilangan yang menentang
ini dicatatkan hanya lebih kurang 20% sahaja.
JAWATANKUASA ANTARA KERAJAAN
Selepas Suruhanjaya Cobbold membuat laporan yang agak memuaskan, tugas
untuk merangka syarat-syarat Persekutuan secara terperinci telah dilakukan oleh
sebuah jawatankuasa yang dipanggil Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) yang
diketuai oleh Lord Landsdowne yang bertindak sebagai Pengerusi, Tun Abdul Razak
Hussein sebagai Timbalan Pengerusi, wakil-wakil kerajaan British dan
wakil-wakil negeri Sarawak, Sabah dan Singapura.
Jawatankuasa ini telah membentuk satu perlembagaan khususnya yang
melibatkan permintaan Sabah dan Sarawak berdasarkan memorandum yang diterima
daripada parti-parti politik di Sabah dan Sarawak.
Laporan yang dibuat oleh jawatankuasa ini menggunakan Perlembagaan
Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Laporan Suruhanjaya Cobbold serta cadangan
yang dibuat oleh Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia sebagai asas.
Perlembagaan yang dibentuk ini telah disahkan oleh kerajaan British pada 9
Julai 1963. Antara perkara yang menjadi teras utama dalam perlembagaan tersebut
ialah :
a. Agama Islam
dijadikan agama rasmi bagi seluruh Persekutuan Malaysia, kecuali Sabah dan Sarawak.
b. Bahasa Melayu
telah dijadikan bahasa rasmi Persekutuan Malaysia, tetapi kelonggaran
diberikan kepada Sabah dan Sarawak untuk menggunakan bahasa Inggeris
dalam perkara-perkara rasmi selama 10 tahun selepas kemasukan ke dalam
Persekutuan.
c. Kuasa kawalan
imigresen di Sabah dan Sarawak akan diserahkan kepada kerajaan negeri
masing-masing walaupun peruntukan tersebut di bawah kawalan kerajaan pusat. Ini
adalah untuk memberi keyakinan kepada Sabah dan Sarawak bahawa tujuan
Tanah Melayu bukanlah untuk menjajah negara tersebut.
d. Sistem
pendidikan masih dikekalkan sehingga Majlis Negeri membuat pindaan.
e. Sabah diberikan
24 perwakilan Parlimen, manakala Sarawak 16 dan Singapura 15 buah
kerusi.
REFERENDUM SINGAPURA
Jika peristiwa di Sabah dan Sarawak melibatkan penyiasatan oleh
Suruhanjaya Cobbold, Singapura turut membuat satu pungutan suara yang dipanggil
Referendum Singapura. Kerajaan Singapura membuat keputusan untuk mengadakan
referendum sebagai satu cara meninjau pendapat penduduk Singapura untuk
mendapatkan kepastian dan pendirian rakyat Singapura berhubung penubuhan Malaysia.
Secara keseluruhan, pungutan suara ini bukan bertujuan untuk membenarkan rakyat
Singapura menolak penubuhan Malaysia, tetapi menerima cadangan ini dengan
pendirian mereka yang tertentu.
Kerajaan Singapura membuat keputusan ini kerana yakin sebahagian besar
parti politik di Singapura menyokong cadangan Malaysia, cuma pandangan dan
pendirian mereka juga perlu diambilkira. Soal menolak sudah tidak wujud, tetapi
soal penubuhan perlu dibincangkan. Dalam pungutan suara ini, rakyat Singapura
diberi tiga pilihan, iaitu :
a. Pilihan A –
rakyat bersetuju untuk bergabung dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan
oleh kerajaan Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu melalui Kertas Putih pada
bulan November 1961 (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 397 626 undi).
b. Pilihan B –
rakyat bersetuju untuk bergabung tanpa syarat dan kedudukan Singapura akan
menjadi seperti negeri-negeri Melayu lain di dalam Persekutuan Tanah Melayu
(secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 9442 undi).
c. Pilihan C –
rakyat bersetuju untuk bergabung dengan syarat dan faedah yang hampir sama
seperti yang diperoleh wilayah-wilayahBorneo dengan penyertaan ini (secara
keseluruhan, pilihan ini mendapat 144 077 undi).
Referendum Singapura ini telah diadakan pada 1 November 1962. Barisan
Sosialis dan pihak komunis yang tidak bersetuju untuk bergabung dengan
Persekutuan Tanah Melayu telah memulau pungutan suara dengan membuang undi
kosong. Namun selepas referendum selesai, laporan menunjukkan 71% pengundi
menyokong pembentukan Malaysia.
Penganalisis sejarah mendakwa sokongan Singapura ini adalah ekoran
kejayaan kerajaan PAP meyakinkan rakyat berhubung tiada kemungkinan taraf
kerakyatan mereka akan dilucutkan dengan penggabungan, perdagangan antarabangsa
Singapura mungkin merosot jika mereka tidak bergabung dan ancaman komunis akan
dapat dibendung dengan jayanya dengan pembentukan ini. Secara keseluruhannya,
keputusan ini menunjukkan rakyat Singapura bersetuju untuk menyertai Malaysia dengan
memilih syarat A, iaitu pilihan yang dicadangkan oleh kerajaan Singapura
sendiri.[3]
PEMISAHAN SINGAPURA
Semenjak Singapura menyertai Malaysia, banyak perselisihan yang timbul
antara kerajaan Singapura dengan kerajaan Persekutuan di Kuala Lumpur.
Perselisihan ini menjadi semakin rumit dan melibatkan banyak isu yang tiada
akhirnya. Malahan tidak mungkin untuk Singapura terus kekal dalam Malaysia tanpa
suasana tegang yang boleh mencetuskan keganasan. Para pemimpin Malaysia,
terutamanya Tunku Abdul Rahman berpendapat lebih wajar Singapura berpisah
daripada Malaysia sebagai jalan keluar terbaik untuk mengatasi pelbagai krisis
yang timbul, demi kepentingan perpaduan kaum, kestabilan ekonomi dan
menghindarkan konflik politik yang berterusan. Akhirnya Singapura berpisah dari Malaysiapada
Ogos 1965.
FAKTOR YANG MENYEBABKAN PEMISAHAN
SINGAPURA DARI MALAYSIA.
a.
Perlembagaan.
Kebanyakkan soal yang berkaitan dengan perlembagaan berkisar tentang isu
ekonomi dan kewangan. Mengikut perjanjian Malaysia, Singapura diberi kuasa
untuk memungut cukai kastam, cukai eksais dan cukai pendapatan. Selain beberapa
kekecualian, semua hasil yang dikutip akan dibahagikan berasaskan 60% untuk
Singapura dan baki 40% lagi untuk kerajaan Persekutuan. Oleh sebab beban cukai
Singapura paling ringan dan bertambahnya perbelanjaan pertahanan, akibat
konfrontasi, kerajaan Persekutuan bercadang mengkaji semula agihan hasil dan
Singapura perlu menyerahkan 60% daripada jumlah hasilnya dan bukanya 40%
seperti yang dipersetujui sebelumnya. Cadangan ini dibantah oleh Singapura
kerana mengikut perjanjian Malaysia, terdapat satu persetujuan bahawa
sehingga bulan Disember 1968, kerajaan Persekutuan perlu mendapat kebenaran
kerajaan Singapura sebelum mengenakan cukai import yang baharu. Kebenaran itu
boleh ditangguhkan, jika sesuatu jenis cukai itu boleh menjejaskan perdagangan
bebas Singapura.
Pada bulan Disember 1964, apabila kerajaan Persekutuan membentangkan
belanjawan bagi tahun 1965, terdapat pelbagai cukai baharu yang dikenakan.
Kerajaan Singapura membantah pengenalan cukai-cukai baharu kerana mereka
dikatakan tidak dibawa berunding terlebih dahulu. Pada akhir bulan Februari
1965, Menteri Kewangan, Tan Siew Sin mengarahkan para pengusaha di Singapura
berunding dahulu dengan kerajaan Persekutuan tentang perlindungan tarif,
sebelum membuka kilang. Arahan ini menimbulkan kemarahan para pengusaha di
Singapura sehingga mendapat liputan media yang meluas.
b.
Persaingan Politik Antara PAP dan MCA
Keadaan ini dapat dilihat apabila pada 9 September 1963, Lee kuan Yew
telah menyatakan bahawa kegiatan politik PAP hanya terbatas di Singapura dan
PAP tidak bercadang untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya di anah Melayu
dalam tempoh lima tahun selepas penyatuan. Kemudianya, PAP mengubah keputusan
itu dan bertanding dalam pilihanraya umum di Tanah Melayu pada tahun 1964. Pada
masa tersebut Tunku Abdul Rahman menegaskan bahawa PAP tidak diperlukan di
Tanah Melayu atas sifatnya sebagai sebuah parti perkauman Cina. Penglibatan PAP
yang terlalu awal dalam kegiatan politik di Tanah Melayu juga menjejaskan
perpaduan kaum, terutama hubungan UMNO dengan MCA. Malahan, PAP dikatakan
berminat untuk mengantikan MCA bagi mewakili kaum Cina dalam Kerajaan
Perikatan.
c.
Masalah Perkauman
Masalah perkauman ini dapat dilihat pada hubungan antara UMNO dengan PAP
yang menjadi semakin renggang akibat beberapa peristiwa yang berlaku di
Singapura. Setelah menyertai Malaysia, orang Melayu di negeri itu ‘berasa
diri mereka diabaikan’ dan kerajaan Singapura tidak mengambil tindakan untuk
membaiki kedudukan mereka. Oleh itu, beberapa buah pertubuhan yang mewakili
orang Melayu menemui Tunku Abdul Rahman untuk melaporkan perkara itu. Keadaan
menjadi semakin rumit selepas Setiausaha Agong UMNO, Syed Jaafar Albar menuduh
pemimpin PAP, Lee Kuan Yew cuba memecahkan perpaduan masyarakat Melayu di
Singapura. Kerajaan Singapura sering mengencam golongan yang disifatkan sebagai
‘pelampau’ dalam kerajaan Persekutuan, terutama Syed Jaafar Albar yang dituduh
oleh para pemimpin PAP sebagai bertanggungjawab menyebabkan tercetusnya rusuhan
kaum di Singapura pada bulan Julai dan September 1964.
Sikap para pemimpin politik di Singapura yang memperjuangkan konsep Malaysian
Malaysia juga kurang disenangi oleh para pemimpin UMNO. Konsep ini
seolah-olah mengenepikan institusi dan mencabar kedudukan istimewa orang
Melayu. Pada bulan Mei 1965, Lee Kuan Yew menubuhkan Malaysian
Solidarity Convention sebagai satu pakatan dikalangan parti pembankang
dengan slogan A democratic Malaysian Malaysiauntuk menandingi
parti Perikatan. Beliau menyeru diwujudkan satu ‘persamaan hak bagi semua”
melalui satu ideologi politik, sosial dan ekonomi yang sama untuk semua kaum.
Kedudukan negeri-negeri di Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak
dalam Persekutuan Malaysia juga ditimbulkan oleh para pemimpin
Singapura. Mereka menggalakkan negeri-negeri itu menimbulkan soal perbezaan
taraf ekonomi dan prinsip-prinsip perlembagaan yang telah dipersetujui sehingga
sesetengah pemimpin di Sarawak, Sabah dan negeri-negeri lain
bertindak balas. Memandangkan sebahagian besar pihak pembangkang terdiri
daripada bukan Melayu, keadaan ini seolah-olah mencerminkan penentangan mereka
terhadap orang Melayu yang menguasai kerajaan. Keadaan yang berlaku bukan lagi
berbentuk pertikaian antara PAP dengan UMNO, tetapi lebih menjurus rebutan
kuasa politik antara kaum Melayu dengan bukan Melayu
d. Perbezaan
Pendekatan Parti Perikatan Dan PAP
PAP berhasrat untuk mewujudkan masyarakat ‘bukan perkauman’ secara
serta-merta dan berpendapat konflik timbul akibat wujudnya dua bentuk
masyarakat yang berlainan. PAP berminat untuk berdebat secara terbuka dalam
hampir semua isu politik dan melaksanakan dasar-dasar baharu dengan segera.
Parti Perikatan terutama UMNO merupakan parti yang dibentuk dengan struktur
perkauman berdasarkan masyarakat majmuk yang sedia wujud di Malaysia.
Parti Perikatan berpendapat perbincangan secara terbuka tentang perbezaan kaum
boleh mencetuskan ketegangan dan kekacauan. Perbezaan pendekatan dalam
menghadapi isu-isu perkauman ini mencetuskan pergeseran antara Parti Perikatan
dengan PAP.